Ummi Nazeera kahwin Ogos depan

(Sumber dari Berita Harian)

UMMI Nazeera akan melangsungkan perkahwinannya dengan Dr Izzar pada Ogos depan.

KUALA LUMPUR: Pelakon Ummi Nazeera akan melangsungkan perkahwinannya dengan tunang yang dikenali sebagai Dr Izzar pada Ogos depan.

Bagaimanapun, tarikh sebenar majlis akad nikah dan resepsi hanya akan diumumkan bintang Hikayat Merong Mahawangsa itu pada Jumaat ini.

Ummi mengumumkan perkara itu menerusi Instagram, beberapa jam lalu. Sebelum ini, beliau hanya menyatakan bakal melangsungkan hari bahagia bersama pemuda terbabit selepas Aidilfitri tahun ini.

“Saya dan tunang, Dr Izzar, akan mengumumkan tarikh berlangsungnya pernikahan dan resepsi pada Jumaat ini.

“Kami memilih Ogos, yang juga bulan kelahiran saya, untuk menyempurnakan separuh tanggungjawab ini. Insya-Allah. Banyak dugaan apabila bertunang ini. Doakan ya!” tulis beliau di laman sosial berkenaan.

Ummi akan genap berusia 27 tahun pada 20 Ogos depan.

Menerusi kenyataannya sebelum ini juga, beliau menyifatkan tempoh pertunangan banyak membuka peluang kepada masing-masing untuk lebih saling mengenali.

“Sebelum ini, saya ingatkan dia seorang yang serius. Tetapi apabila mengenalinya dengan lebih mendalam, rupa-rupanya dia seorang yang kelakar.

“Alhamdulillah, tempoh pertunangan ini menjadi masa untuk kami mengenali antara satu sama lain, walaupun hanya sebulan sekali kami bertemu. Maklumlah, dia bertugas di sebuah hospital di Sarawak,” ujarnya.

Pasangan ini ditunangkan dalam sebuah majlis tertutup pada 11 Disember tahun lalu. Kedua-duanya berkenalan menerusi ibu pemuda terbabit pada sebuah majlis, 29 Januari tahun lalu.

∁∣¡∁k ¡m∂G⋿ ⊤o Close