Sudah rezeki Vinales

(Sumber dari Harian Metro)

Le Mans, Perancis: Pelumba Sepanyol Maverick Vinales meraih kemenangan dalam perlumbaan MotoGP Perancis yang mendebarkan semalam selepas bersaing sengit dengan pelumba veteran dari Itali Valentino Rossi.

Kemenangan itu membolehkan Vinales mendahului kejuaraan dunia MotoGP yang ‘mengorbankan’ Rossi selepas pelumba Itali berusia 38 tahun itu terbabas pada pusingan terakhir ketika cuba memintas rakan sepasukannya dari Yamaha itu.

Pelumba tempatan Johann Zarco yang juga menunggang Yamaha di tangga kedua manakala seorang lagi pelumba Sepanyol Dani Pedrosa yang menunggang Honda, di tangga ketiga.

Vinales, 22, berkata: “Menakjubkan, menakjubkan. Saya hanya berikan yang terbaik. Saya melihat Valentino melakukan kesilapan dan saya terus memecut selepas dua perlumbaan yang mengecewakan.”

∁∣¡∁k ¡m∂G⋿ ⊤o Close

Vinales dan Rossi bersaing untuk meraih kemenangan sepanjang perlumbaan itu namun cabaran mereka semakin sengit ketika perlumbaan berbaki tiga pusingan apabila Rossi merampas kedudukan pendahulu yang disambut sorakan 100,000 penyokong di Le Mans.

Cabaran itu dilihat seolah-olah sudah berakhir, namun Rossi pula membuat kesilapan yang membolehkan Vinales kembali merampas kedudukan pendahulu sebelum Rossi hilang kawalan apabila cuba untuk memintas lawannya pada saat akhir.

Insiden itu membuatkan Rossi kecewa apabila hanya mampu melihat pelumba muda itu meraih gelaran juara.

Selepas lima pusingan perlumbaan, Vinales mengumpul 85 mata sementara Pedrosa naik ke tangga kedua dengan 68 mata. Rossi mengumpul 62 mata dan Marc Marquez yang terbabas di pusingan ke-18 mengumpul 58 mata.