Suami bingung Anzalna obses hias rumah

(Sumber dari Berita Harian)

ANZALNA mempunyai hobi baharu iaitu menghias rumah. – Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Sejak mendirikan rumah tangga setahun lalu, pelakon Anzalna Nasir, 29, mengaku mempunyai hobi baharu iaitu menghias rumah.

Anzalna atau nama penuhnya, Nur Anzalna Md Nasir memberitahu, hampir setiap hari dia mengalih perabot hingga suaminya, Mohamad Hanif Mohamad Zaki bingung.

“Aktiviti paling menyeronokkan sekarang adalah menghias rumah. Bayangkan, saya mengubah kedudukan perabot hingga suami jadi bingung.

“Malah, saya semakin ‘gila’ membeli barang hiasan rumah terutama lampu. Gara-gara itu, Hanif mencadangkan saya membuka kedai kerana terlalu banyak lampu yang dibeli,” katanya kepada BH On-line.

Tambah Anzalna, gara-gara hobinya itu, dia kurang berminat membeli pakaian baharu seperti yang sering dilakukan pada waktu santai.

Namun, bintang Memori Cinta Suraya ini sedar dia harus mengawal perbelanjaan bagi mengelak pembaziran.

Sehubungan itu, dia bercadang untuk menjual hiasan lampu yang tidak digunakan menerusi laman Instagram.

Dalam pada itu, Anzalna turut gembira melihat dua adiknya, Mia dan Afifah terjun dalam bidang seni.

“Saya pernah bertanya kepada Mia dan Afifah kenapa tidak mahu fokus pada akademik kerana mereka cemerlang. Tetapi jawapan yang mereka beri adalah sama seperti saya dulu iaitu minat,” katanya.