'Rumah tangga kami masih utuh' – Aqasha

(Sumber dari Berita Harian)

PELAKON, Aqasha. – Foto Rohanis Abdul Shukri

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Aqasha, menegaskan rumah tangga yang dibina sejak tujuh tahun lalu bersama isteri, Noor Baizura Mohd Sabri, masih baik.

Artis berusia 35 tahun itu seterusnya menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya perkahwinannya dengan wanita berkenaan bergolak, seperti yang tersebar di laman sosial, baru-baru ini.

Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli berkata, mahligai yang didirikan bersama Baizura pada 10 Oktober 2010 tetap dalam keadaan teguh.

“Hubungan saya dan isteri baik-baik saja dan kami tidak pun terjejas dengan cakap orang di luar sana.

“Sebagai seorang lelaki Islam, saya tahu tanggungjawab saya. Orang luar tidak tahu apa yang saya lalui,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Ramadan Raya TV3 dan TV9 2017 di sebuah resort, di sini hari ini.

Mengulas paparan skrin yang dimuat naik isterinya mengenai perbualan pelakon itu dengan aktres, Rita Rudaini, 41, yang mencetuskan spekulasi nakal, bintang filem Embun ini berkata, terpulanglah kepada mereka yang membaca untuk menilainya.

“Saya tidak kisah orang nak cakap apa sekalipun kerana hanya saya yang tahu,” katanya.

Ditanya pula mengenai perhubungannya dengan pelakon berstatus ibu tunggal terbabit, Aqasha berkata, mereka sangat profesional dalam hal itu.

“Hubungan kami profesional dan saya tiada masalah untuk berlakon bersamanya jika ada tawaran pada masa akan datang,” katanya yang digandingkan dengan Rita dalam drama Misi Laksa Dan Laksam, yang bakal ditayangkan menerusi TV3 tidak lama lagi.

∁∣¡∁k ¡m∂G⋿ ⊤o Close