PTVM minta maaf

(Sumber dari Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) membuat permohonan maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, di atas insiden memalukan membabitkan ahlinya ketika Dialog Tranformasi Negara 50 (TN50) berlangsung di Seri Perdana, malam tadi.

DATUK Jurey Latiff Rosli. – Foto Asyraf Hamzah

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli, kejadian terbabit amat memalukan seluruh warga seni, apatah lagi selepas ia diviralkan oleh orang ramai.

“PVTM ingin memohon maaf bagi pihak ahli kami, iaitu Metrowealth Sdn Bhd. Kami yakin, Ketua Pegawai Operasinya, David Teo tidak berniat untuk berlaku biadap atau merosakkan majlis.

“Kejadian berlaku tanpa dirancang dan semua pihak harus bertanggungjawab. Bagaimanapun, insiden ini amat memalukan dan ia tidak seharusnya berlaku sehingga mencalarkan imej penggiat seni di hadapan Perdana Menteri dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media yang dikirimkan kepada BH On-line.

Menurutnya lagi, pelbagai tafsiran dan komen terhadap insiden yang berlaku itu muncul selepas video kejadian berkenaan menjadi tular, malah isu itu sendiri menenggelamkan objektif dan niat baik Perdana Menteri yang menjadi tuan rumah kepada acara terbabit.

Jurey turut berharap, pengisian program dan perancangan untuk kemajuan industri kreatif serta masa depan penggiat seni selepas ini akan terus mendapat perhatian kerajaan.

“Satu kerugian yang besar apabila peluang baik ini disia-siakan dengan insiden buruk sebegini. Saya sebagai presiden PVTM mengharapkan Perdana Menteri memaafkan David Teo dan Sulaiman Yassin atau Mat Over, serta tidak serik untuk terus membantu industri kreatif negara.

“Saya juga menyanjung tinggi sikap tenang dan mesra diperlihatkan Perdana Menteri, yang membuktikan beliau adalah pemimpin berjiwa besar dan ikhlas dalam pertemuan semalam,” katanya.

Malam tadi, ketika program berkenaan berlangsung, pelawak terbabit dilihat meluru ke arah David sebelum menampar penerbit terbabit.

Memetik laporan Harian Metro, Mat Over mengaku berbuat demikian bagi mengajar penerbit berkenaan mengenai ‘adab’.

Insiden tercetus apabila David seolah-olah mempersoalkan cara pengacara program itu, Datuk Rosyam Nor, yang didakwa tidak berlaku adil dalam memberikan ruang untuk semua orang menyuarakan pandangan.

Selepas menyatakan tindakan David seperti tidak menghormati Perdana Menteri, Rosyam bagaimana memberikan ruang untuk produser berkenaan bercakap.

Ketika David mula berpantun, Sulaiman menuju ke arah penerbit itu dan menamparnya.

Namun, tamparan beliau terkena tangan kiri David, menyebabkan penerbit itu menendang penyerangnya. Selepas beberapa saat, kedua-duanya dibawa keluar dewan.