Minyak wangi Khai Bahar

(Sumber dari Berita Harian)

PENYANYI, Khai Bahar. – Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Penyanyi baharu, Khai Bahar, 23, mengikut jejak beberapa selebriti lain dengan memperkenalkan minyak wangi jenamanya sendiri.

Produk edisi terhad yang menggunakan nama Khai Bahar Bayang, sempena lagu standard dendangannya itu bakal dilancarkan bulan depan.

Sebelum ini, beberapa artis standard turut tampil bersama wangian mereka sendiri, termasuk Rozita Che Wan, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Rita Rudaini, Ning Baizura, Sheila Rusly, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Izreen Azminda, Bunkface dan Kaka Azraff.

Biarpun deretan selebriti sudah berbuat demikian, Khai, yang dikesan bakatnya menerusi laman sosial, yakin pasaran untuk minyak wangi keluaran artis tetap luas.

“Saya juga melihat kuasa membeli minyak wangi dalam kalangan masyarakat masih ada dan permintaannya berterusan. Semua orang di dunia mahu diri mereka berbau wangi.

“Kewujudan minyak wangi komersial dan produk dikeluarkan golongan selebriti pula memberikan mereka lebih pilihan.

“Inilah juga ruang pertama untuk saya menceburi dunia perniagaan, dengan menjual minyak wangi.

“Harapnya, percubaan ini akan memberikan pulangan besar dan maklum balas positif daripada orang ramai,” katanya kepada BH On-line.

Dalam perkembangan lain, Khai, yang mula meraih perhatian apabila nyanyiannya bersama Siti Nordiana menerusi aplikasi Smule menjadi viral, akan merakamkan dua lagu raya tidak lama lagi.

Kata Khai, sebuah daripada lagu berkenaan ialah Halaman Asmara, yang pernah dipopularkan oleh Ziana Zain dan Awie.

“Bagi lagu Halaman Asmara, saya akan berduet dengan Fatin Husna, iaitu artis baharu daripada NAR Information.

“Sebuah lagi lagu akan dinyanyikan secara solo, hasil ciptaan sepenuhnya Fedtri Yahya. Ia lebih kepada rentak lagu 90-an,” katanya.