Mini Cooper tanda penghargaan Black buat isteri

(Sumber dari Berita Harian)

BLACK membuat kejutan dengan menghadiahkan kereta Mini Cooper buat isteri, Cira.- Foto ihsan instagram Black

KUALA LUMPUR: Simbolik penghargaan atas pengorbanan sepanjang empat tahun berkahwin, penyanyi Black membuat kejutan dengan menghadiahkan kereta Mini Cooper buat isteri, Cira.

Black atau pemilik nama penuh, Hanifah Hanafiah, memilih untuk memberi kenderaan baharu buat isterinya bagi memudahkan urusan harian.

“Sepanjang tempoh perkahwinan, saya tidak pernah menghadiahkan apa-apa untuk isteri dan kereta itu adalah sebagai tanda penghargaan buat Cira. Tidak mampu untuk terlalu bermewah, saya sekadar beri yang termampu.

“Saya memilih kereta kerana Cira sukar berulang-alik jika saya keluar bekerja. Hadiah ini dapat memudahkan segala urusan Cira, sekali gus sebagai persediaan menghantar anak kami ke sekolah nanti,” katanya kepada BH On-line.

Black mendirikan rumah tangga dengan Cira atau nama penuhnya, Naquia Yasirah Mohamad Khairi, pada 13 September 2013.

Perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata, Khaleef Dayyan yang kini berusia dua tahun.

Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Black mempertaruhkan single hasil nukilan sendiri yang dijangka berada di pasaran pada Mei ini.

“Buat pertama kali saya mencuba menulis bait lagu manakala sentuhan melodi pula diserahkan kepada Zul (2 by 2). Biarpun tampil dengan style sama iaitu balada namun ada kelainan dalam lagu itu,” katanya lagi.

Selain itu, Black yang kini bernaung di bawah syarikat pengurusannya sendiri sudah menandatangani kontrak dengan dua artis baharu, Nuzul dan Photo voltaic untuk diketengahkan.

Close