Home / hmetro / Mahu gilap penyanyi berkualiti

Mahu gilap penyanyi berkualiti

(Sumber dari Harian Metro)

Muzik sudah menjadi sebahagian hidup Mark Adam. Melalui muzik juga, penyanyi kelahiran Filipina ini berjaya mencipta nama di Malaysia dan merealisasikan impiannya membuka pusat latihan vokal dan persembahan pentas yang diberi nama Suara Academy.

Mark berkata dia mahu melahirkan penyanyi berkualiti yang mampu membuka mata dunia untuk melihat bakat yang ada di Malaysia.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar. Hasrat untuk buka pusat latihan vokal sudah lama ada dan pada Disember lalu saya mencari premis sesuai.

“Selepas berbincang dengan isteri, kami sepakat memilih Damansara Perdana sebagai lokasi Suara Academy,” kata Mark.

Menurut penyanyi berusia 38 tahun ini lagi, dia juga mahu mengubah persepsi masyarakat luar negara terhadap industri muzik Malaysia.

“Sebelum ini kita selalu lihat bakat hebat penyanyi Indonesia dan Filipina. Kalau boleh saya mahu Malaysia disebut sebagai negara yang ada ramai penyanyi berbakat besar,” katanya.

Mark bersyukur kerana usahanya membuka pusat latihan vokal mendapat sokongan rakan.

“Ramai yang hulurkan bantuan. Antaranya, pada majlis pelancaran Suara Academy pada Rabu lalu, ada yang menaja makanan, khemah, cenderahati dan macam-macam lagi.

“Saya berterima kasih kepada Hafiz Hamidun kerana mencadangkan lokasi premis ini. Ia memang strategik dan barang juga sudah disediakan pemilik,” katanya.

Selain Mark selaku pemilik dan tenaga pengajar, Suara Academy turut menampilkan tenaga pengajar lain iaitu Ewal atau atau Iqwal Hafiz, Amir Jahari dan Adeep Nahar.

“Semua barisan tenaga pengajar ada kekuatan masing-masing dan bersedia membantu pelajar daripada pelbagai segi. Mereka menjadi pilihan kerana kami pernah bekerjasama dan saya tahu kemampuan mereka.

“Kami berempat akan uji pelajar dan mengenal pasti kemampuan dalam muzik,” katanya.

Meskipun baru beroperasi, Suara Academy sudah bersedia menerima pelajar.

“Ramai juga yang sudah mendaftar dan pelajar paling muda berusia tiga tahun. Ada juga artis turut mendaftar sebagai pelajar di sini termasuk Aiman Tino,” kata Mark.

Ditanya mengenai yuran bulanan, Suara Academy meletakkan harga berpatutan bagi memberi peluang kepada orang ramai mengasah skil nyanyian dan muzik.

“Pelajar akan dikenakan bayaran RM300 sebulan dan akan ada empat kelas yang setiap satunya berdurasi sejam.

“Sesiapa sahaja boleh belajar di sini kerana yurannya berpatutan,” katanya.

Beralih perkembangan terkini, Mark baru sahaja melancarkan lagu dwibahasa berjudul Pangako Sa Yo atau Janjiku Padamu, duet bersama Adira.

“Pihak Astro minta saya merakamkan lagu ini tiga bulan lalu. Menariknya, lagu ini dinyanyikan dalam dua bahasa dan menjadi lagu tema untuk drama bersiri Pangako Sa Yo atau The Promise yang bersiaran di Astro,” katanya.

Comments

comments

Check Also

Empat militan terbunuh

(Sumber dari Harian Metro) Manila: Tentera Filipina semalam melancarkan serangan udara dan darat di selatan …