Home / malaysiakini / Mahathir kemuncak penderhakaan, kata Najib

Mahathir kemuncak penderhakaan, kata Najib

Sumber dari Malaysiakini

Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk parti baru bagi menjatuhkan Umno-BN jelas memberi kesan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri menyatakan kekecewaannya, sekali gus menyifatkan tindakan Mahathir itu sebagai “kemuncak penderhakaan” kepada Umno dan negara.

“Dr Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, tapi kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun.

“Sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau yang pernah kita sanjung sebagai seorang tokoh dulu, kini, kini telah tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat pula dengan pihak DAP, perhimpunan haram BERSIH, Parti Amanah Negara, PKR dan lebih teruk dari itu bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah dibenci dan disuruh kita benci sebagai penyangak mata wang.

“Hakikatnya, inilah dia satu bentuk kemuncak penderhakaan pada Umno, bangsa dan tanah airnya,” kata Najib dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun Najib berkata Umno mampu bertahan sehingga hari ini kerana amalan prinsip walak dan kesetiaan dalam tradisi Umno.

Kata Najib, prinsip walak Umno membawa maksud nilai cinta kasih, kepatuhan, sumpah setia, taat dan baiah yang wajib diberikan kepada pemimpin yang sah, dan di dalam konteks Umno iaitu presiden parti manakala bagi kerajaan ialah Perdana Menteri.

“Walak yang diberikan bukanlah sekadar kepada jasad, tubuh atau individu, akan tetapi, walak sebenarnya merangkumi institusi kepresidenan atau keperdanamenterian, yang disandang oleh seseorang,” kata Najib.

Jelasnya, selama lebih tujuh dekad Umno berjaya bertahan walaupun menghadapi pelbagai rintangan serta sering kali cuba dijebak ke dalam kancah perpecahan dan berpuak-puak.

Najib berkata ia merupakan perlambangan hebat parti terbesar orang Melayu itu menjunjung adat dan budaya Timur serta bersendikan landasan syarak, dalam menyatakan sokongan dan dukungan terhadap seorang presiden atau perdana menteri selama ini.

Tegasnya, walak dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa yang akan berada di puncak kelak dan mengambil alih jawatan presiden dan perdana menteri.

“Walak dan kesetiaan dalam budaya serta alam Melayu serta agama kita (Islam) adalah semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu yang tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya,” katanya.

Check Also

Usaha MP ketepi saman Najib didengar pada 17 Jan

Sumber dari Malaysiakini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 17 Januari depan untuk mendengar permohonan …