KAFA pilih rahsia

∁∣¡∁k ¡m∂G⋿ ⊤o Close

(Sumber dari Harian Metro)

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) enggan mendedahkan identiti dua calon yang dipilih mereka untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

KAFA menjelaskan masih terlalu awal untuk mengumumkannya.

Selain itu, ia juga tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi yang ‘menyakitkan telinga’ jika idenditi kedua calon itu didedahkan kepada umum.

Sumber dalaman KAFA berkata, pihaknya percaya dua calon itu memiliki kredibiliti tersendiri dan mampu memberikan sumbangan dalam meneruskan agenda pembangunan bola sepak negara.

Katanya, dua individu terbabit bukan dari Kelantan, sebaliknya orang yang cukup dikenali ramai.

Bahkan, seorang daripada mereka agak berpengaruh dalam pengurusan badan induk bola sepak negara.

“KAFA sudah pun menghantar dua senarai calon yang dipilih untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden FAM.

“Difahamkan, borang pencalonan itu sudah diterima badan induk sukan negara berkenaan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Timbalan Presiden sedia ada, Datuk Seri Afandi Hamzah antara lima nama yang dicalonkan bagi merebut jawatan itu pada Kongres Pemilihan FAM ke-53, 25 Mac depan.

Antara nama besar lain yang dicalonkan ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Mohd Hamidin Mohd Amin, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman; Naib Presiden, Datuk Rozabil Abdul Rahman; EXCO FAM, Datuk Yusoff Mahadi dan bekas naib presiden, Datuk Seri Subahan Kamal.

Menurut sumber itu lagi, sudah tiba masanya ahli gabungan FAM di seluruh negara membuat pemilihan (calon) yang tepat bagi merubah panorama bola sepak negara.

“Kami mahukan sesuatu pembaharuan dan berharap semua calon yang dipilih itu mampu memberi sinar baru kepada FAM serta tidak mahu lagi adanya konsep ‘tarik tali’ dalam badan induk itu.

“Yang perlu bijaksana dalam hal ini adalah ahli gabungan yang mesti membuat pilihan tepat dan bukannya atas dasar ‘ampu’,” katanya.