Hafiz cabar diri jadi hos program nyanyian

(Sumber dari Berita Harian)

Hafiz Suip. – Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Suip, 27, mencabar diri dengan menerima tawaran sebagai pengacara bersama program nyanyian, Unplugged.

Hafiz atau nama penuhnya, Mohd Hafiz Suip memberitahu BH On-line, pertaruhan beliau dalam cabang seni pengacaraan banyak membantu dirinya untuk memperbaiki keyakinan diri dan percakapan.

“Tidak salah rasanya untuk saya mencuba sesuatu yang baharu kerana selain mencabar diri sebagai pengacara, ia juga dapat dijadikan ruang mencari rezeki. Oleh itu, pendapatan saya tidaklah terhad kepada bidang nyanyian semata-mata.

“Saya juga pernah mencuba bidang lakonan dan kali ini, saya tertarik untuk menerima tawaran daripada cabang seni berbeza. Alhamdulillah, episod pertama mendapat sambutan memberangsangkan, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan oleh pihak pengurusan.

“Selain menjadi sumber rezeki, bidang pengacaraan turut membantu saya memperbaiki keyakinan diri apabila berhadapan dengan kamera. Malah, tugas sebagai hos program banyak melancarkan pertuturan saya,” kata Hafiz.

Mengulas mengenai gandingannya bersama Elly Ariffin, Hafiz mengakui banyak belajar daripada pengacara wanita terbabit. Penyanyi lagu Awan Nano ini juga mengaku cepat serasi bersama Elly.

“Elly sendiri mempunyai pengalaman dalam bidang pengacaraan, jadi beliau banyak mengajar saya untuk berhadapan dengan kamera, selain tidak lokek untuk berkongsi ilmu.

“Kami saling bertukar-tukar pendapat bagi memperbaiki teknik pengacaraan dan menyajikan hiburan untuk peminat muzik tempatan,” kata juara program Akademi Fantasia musim ketujuh ini.

∁∣¡∁k ¡m∂G⋿ ⊤o Close