Home / hmetro / Empat militan terbunuh

Empat militan terbunuh

(Sumber dari Harian Metro)

Manila: Tentera Filipina semalam melancarkan serangan udara dan darat di selatan negara itu yang dilapor menyebabkan seorang suspek pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara cedera.

Menurut pegawai semalam, suspek berkenaan yang menjadi sasaran utama serangan itu, Isnilon Hapilon, cuba menubuhkan pangkalan baru bagi pakatan yang menyokong kumpulan Daish.

Laporan awal perisikan menunjukkan serangan itu turut menyebabkan empat militan mati, mungkin termasuk seorang warga Malaysia, kata Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana.

Menurutnya, Isnilon yang juga digelar Abu Abdullah al-Filipini dipercayai melarikan diri dari kubunya di kawasan pergunungan berhampiran bandar Butig di wilayah Lanao del Sur.

“Tentera kini masih memburunya,” kata Lorenzana.

Ketua turus tentera, Heneral Eduardo Ano berkata, serangan menyasarkan kumpulan yang dikenali sebagai Maute bermula Rabu lalu, membabitkan ratusan tentera yang disokong dengan bedilan meriam.

Isnilon yang termasuk dalam senarai pengganas paling dikehendaki Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dilapor berpindah ke Butig dari kubu kuatnya di Pulau Basilan sebulan lalu untuk menubuhkan pangkalan baru bagi pakatan militannya, kata Ano.

Dia yang dikatakan fasih berbahasa Arab juga terkenal kerana kepakaran melancarkan serangan ala komando.

Bekas ketua kumpulan Abu Sayyaf itu berikrar taat setia kepada Daish pada 2014 sebelum menubuhkan pakatan yang dikenali sebagai Daulatul Islam Wilayahtul Mashriq yang kini dipercayai dianggotai sekurang-kurangnya 10 kumpulan militan kecil, termasuk beberapa puak Abu Sayyaf dan dua kumpulan yang diasaskan oleh militan Malaysia dan Indonesia.

Menurut pegawai antikeganasan Filipina, semua kumpulan itu menggunakan bendera hitam Daish.

Check Also

Baru enam bulan berkahwin

(Sumber dari Harian Metro) Kota Kinabalu: Abhsoy Kassim, 26, kru bot karam berhampiran perairan Pulau …