Demi isteri, Hazama ingin berehat daripada kerja seni

(Sumber dari Berita Harian)

PENYANYI, Hazama Azmi, 33, merancang untuk bercuti daripada kerjaya seni bagi meluangkan masa berkualiti bersama isterinya, Genervie Kam. – Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hazama Azmi, 33, merancang untuk bercuti daripada kerjaya seni bagi meluangkan masa berkualiti bersama isterinya, Genervie Kam.

Bercakap kepada BH On-line beliau berkata, biarpun sudah mendirikan rumah tangga hampir empat bulan, jadual kerja yang padat membuatkan masing-masing belum berkesempatan memilih lokasi untuk berbulan madu.

“Saya sangat berharap dapat meluangkan waktu bersama isteri. Namun, komitmen terhadap kerja seni yang tidak putus-putus membuatkan percutian bulan madu pun belum dapat ditunaikan lagi.

“Selepas selesainya tugas di Mentor Milenia, yang masih berbaki tiga minggu lagi, saya ingin berehat seketika selain membawa isteri bercuti. Kami berdua memang terlalu sibuk bekerja sehingga tidak tahu pun Gen (Genervie) hamil di luar rahim, baru-baru ini,” kata Hazama.

Hazama dan Genervie mendirikan rumah tangga pada 15 Januari lalu dan baru-baru ini, peminat dikejutkan dengan berita pemuzik wanita berkenaan terpaksa menjalani pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

Bercerita mengenai perjalanan kerjaya, Hazama berkata beliau bakal melancarkan single terkini berjudul Aku Yang Sebenar, karya Datuk M Nasir dan Ed Samad, bulan depan.

“Jika tiada aral, lagu berkenaan juga bakal dimuatkan dalam album terbaru saya, yang dijangka siap penghujung tahun ini.

“Perancangan bagi album baharu nanti adalah untuk menggabungkan ‘development’ terkini dengan style pilihan saya. Selain Aku Yang Sebenar, saya turut bekerjasama dengan Altimet menerusi lagu Aku Bukan Dewa,” kata Hazama.