Bapa Benjy tak rancang ke Indonesia

(Sumber dari Berita Harian)

PELAKON, Benjy ditahan di lapangan terbang Medan, Indonesia, kerana cuba membawa dadah jenis syabu seberat 14 gram di negara itu. – Foto Detik.com

KUALA LUMPUR: Bapa kepada pelakon Benjy yang ditahan berhubung kes dadah di Medan, Indonesia, Khairil Anwar ZM Rashidi, berkata beliau tidak mampu untuk ke negara itu bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes terbabit.

Khairil Anwar, 65, ketika dihubungi BH On-line berkata, beliau juga berada dalam keadaan tidak sihat akibat penyakit angin ahmar sejak beberapa bulan lalu.

“Saya tidak mempunyai sebarang perancangan untuk ke Indonesia kerana tidak mampu, lagi pun untuk apa saya ke sana?

“Saya dimaklumkan mengenai perkara ini pun selepas mula dihubungi oleh pihak media,” katanya.

Diminta mengulas lanjut mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu, Khairil atau juga dikenali sebagai Karl berkata, tiada apa yang boleh dijelaskan lagi.

“Saya tidak ada apa yang hendak dikomen. Saya juga tidak boleh nak bercakap lama kerana tidak sihat,” katanya.

Benjy atau nama penuhnya, Khaeryl Benjamin, 38, ditahan di lapangan terbang Medan, Indonesia, kerana cuba membawa dadah jenis syabu seberat 14 gram di negara itu.

Close