Artis, ahli politik tampil bantu Jupe

(Sumber dari Berita Harian)

BINTANG sensasi, Julia Perez atau Jupe. – Foto Aziah Azmee

KEADAAN kesihatan bintang sensasi, Julia Perez atau Jupe, yang semakin teruk berikutan serangan sel kanser serviks tahap empat, membuatkan ramai teman seperjuangan tampil beramal.

Membariskan selebriti terkenal Indonesia, malam gala yang diadakan baru-baru ini turut disiarkan secara langsung dari Studio 2 ANTV, Jakarta.

Acara selama dua jam itu bukan hanya membabitkan rakan seperjuangan artis berusia 36 tahun itu, malah kelompok usahawan, ahli politik dan peminat.

Antara mereka yang memberikan sokongan, sekali gus menyumbangkan lebih RM30,000 ialah Maia Estianty, selain calon Wakil Gabenor DKI Jakarta, Sandiaga Uno, yang menyerahkan RM100,000.

Sebelum itu, Maia yang juga bekas isteri Ahmad Dhani sudah pun memberikan sumbangan, namun demi untuk membolehkan Jupe mendapatkan rawatan susulan, Maia menyalurkan lagi derma.

“Kanser bukan penyakit murah, bukan 100 atau 200 ribu. Boleh habis ratusan ribu. Insya-Allah dengan adanya acara sebegini, sedikit sebanyak bebannya dapat dikurangkan,” kata Maia.

Buat masa ini Jupe yang ditempatkan di Rumah Sakit Cipto Mangunkusumo, Jakarta Pusat, dikatakan sudah menjalani rawatan kemoterapi yang terakhir.

Beliau difahamkan semakin lemah, selain kadang kala tidak mengenali keluarga sendiri.