Api sambar pencuci, kereta

(Sumber dari Harian Metro)

Alor Setar: Pekerja kedai mencuci kereta di Jalan Tandop, di sini, melecur di tangan dan muka selepas pam pencuci terbakar.

Pam yang tiba-tiba terbakar itu turut menyebabkan Volkswagen Polo GTI terbakar lima peratus, dalam kejadian kira-kira 7 malam tadi.

Lelaki berusia 21 tahun yang sedang bekerja mencuci kereta tidak sempat menyelamatkan diri.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Abdul Manaff Yusof, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 7.09 malam.

Katanya, jentera pertama tiba di lokasi kemalanan, kira-kira enam minit kemudian.

Close

Menurutnya, lima anggota bomba dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja bergegas ke lokasi kebakaran.

Katanya, skuad dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpang Empat, Seberang Nyonya, Kampung Berjaya, Jalan Kundur dan Rangkaian Kampung Baru Simpang Empat.

“Sebaik tiba kami mendapati kebakaran membabitkan pam mencuci kereta yang menyambar kereta dan pekerja lelaki di premis itu.

“Kerosakan kereta itu lima peratus iaitu di bahagian hadapan manakala mangsa yang melecur dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dengan jentera Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS) untuk rawatan,” katanya.

Abdul Manaff berkata, api dikawal pada 7.22 malam dan padam sepenuhnya 21 minit kemudian.

“Punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.