Anak sulung Yusry cemburukan adik

(Sumber dari Berita Harian)

YAHAIRA dan adiknya, Yusuf. – Foto Instagram Lisa Surihani

BANGI: Pengarah, Yusry Abdul Halim, 42, memaklumkan anak sulungnya yang baharu berusia setahun setengah, Yahaira Leanne, masih menyesuaikan diri dengan kehadiran Yusof Leonne apabila mula menunjukkan perasaan cemburu terhadap adiknya.

Katanya, ia perkara biasa dialami anak kecil lain, termasuk Yahaira, yang belum puas bermanja dan tidak memahami kelahiran adiknya bukan untuk merampas kasih sayang ibu bapa.

“Ketika dipertemukan di hospital selepas kelahiran Yusof, dia tampak teruja dan tidak sabar mahu mencium adiknya. Cuma kebelakangan ini Yahaira mula menunjukkan rasa cemburu, terutama kalau Yusof sedang menyusu badan.

“Namun, supaya dia tidak berasa tersisih, kami sentiasa membabitkannya dalam setiap aktiviti, sama ada ketika memakaikan baju pada si kecil mahu pun mengajaknya bermain-main. Kebiasaannya saya dan isteri bergilir-gilir memperuntukkan masa khas menemani Yahaira.

“Rasanya, perasaan sebegini biasanya sekejap saja. Lagi pun dia baru berusia setahun lebih. Masih kecil sangat untuk memahami situasi dialaminya,” kata Yusry ketika ditemui pada majlis sidang media sempena sambutan ulang tahun ke-25 KRU, di sini.

Isterinya yang juga seorang pelakon, Lisa Surihani, 31, melahirkan Yusof pada 23 April lalu. Anak sulungnya pula dilahirkan pada 15 September 2015.

Pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012.

Sementara itu, mengenai ulang tahun KRU, yang turut dianggotai dua lagi adik-beradiknya, Datuk Norman dan Edry, Yusry berkata, selain menghasilkan buku biografi, mereka turut merencanakan penganjuran konsert yang dijadualkan berlangsung sebelum akhir tahun ini.

Pada majlis sama, trio yang pernah mencetuskan fenomena itu melayani pertanyaan peminat secara langsung menerusi FB Reside selain mempersembahkan lagu Fanatik sebagai hadiah istimewa buat mereka.